



BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) menganjurkan Seminar Perguruan Ugama selama dua hari bertempat Dewan Utama di Kolej tersebut dengan tema 'Memantapkan Profesyen Perguruan Ugama'.
Majlis pembukaan rasmi seminar tersebut telah di sempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Pehin Dato Seri Utama Dr. Haji Mohd Zain Haji Serudin selaku tetamu kehormat.
Lebih 300 peserta menyertai seminar yang julung-julung kali diadakan itu.
Sepanjang seminar, para peserta didedah dengan pembentangan kertas kerja dalam pelbagai bidang oleh sembilan intelektual Islam dari dalam dan luar negara.
Antara penceramah yang diundang termasuklah Profesor Dato Dr Sayyid Mohammad Aqiel dari Kolej Universiti Insaniah Kedah, Malaysia dan Profesor Madya Dr Mohd. Yussof Ahmad dari Universiti Terbuka Malaysia.
Juga hadir di majlis perasmian itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Badaruddin Pangarah Haji Othman dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Md Mahdi Haji Abdul Rahman.
Teks ihsan sari Aida HAH (Media Permata)


No comments:
Post a Comment